Fish

Saturday, 22 September 2012

SEJARAH TINGKATAN 4 BAB 8


heading 8.1
pengaruh islam terhadap politik

  • Resource
  • Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah memperkenalkan beberapa bidang baru seperti amalan pentadbiran dan pemerintahan berasaskan Islam di Tanah Melayu.Ia berjaya mengubah sistem pemerintahan raja monarki kepada sistem pemerintahan kesultanan dan turut mengubah sistem perundangan berasaskan al-Quran dan Hadis.
    Pentadbiran
    Sebelum Islam, sistem politik dan pemerintahan yang terlaksana ialah sistem raja berkuasa mutlak. Institusi raja ini dipengaruhi dengan unsur-unsur agama Hindu-Buddha yang dikenali dengan konsep dewa-raja.
    Kedatangan Islam telah merubah sistem pemerintahan ini kepada sistem kesultanan yang bersifat amir atau khalifah. Mengamalkan sistem Zillullah fil-alam dan Zillullah fil-ardh yang membawa maksud bayangan Allah di muka bumi. Konsep ini menjadi teras pemerintahan institusi kesultanan dan mengesahkan perlaksanaan Islam di Alam Melayu. Para pemerintah kerajaan di Alam Melayu juga telah menggunakan gelaran seperti Khalifatul Mukminin yang membawa maksud pemimpin orang mukmin. Sebagai contohnya ialah Sultan Mahmud Shah di Melaka dan Sultan Abdul Ghaffur Muhyidin yang memerintahan Pahang tahun 1572 hingga 1614.
    Tradisi agama Hindu-Buddha, seseorang raja akan mengesahkan kedudukannya dengan mengaitkan keturunannya dari galur kedewaan. Namun kedatangan Islam telah mengubah pegangan prinsip ini. Lantaran itu, tokoh-tokoh Islam seperti Iskandar Zulkarnain pula dijadikan contoh ikutan bila mengaitkan dangan salasilah keturunan pemerintah bagi menguatkan kedudukan mereka. Dengan berbuat demikian maka mereka telah mengangkat kedudukan atau status mereka sebagai mulia dengan mengaitkan jurai keturunan pemerintahan Islam yang gemilang.
    Kemudian selepas asas tersebut, sistem pemerintahan di Alam Melayu terus kekal dengan mengamalkan sistem pewarisan pemerintahan. Sistem pemerintahan ini meletakkan raja atau sultan sebagai pemerintah tertinggi sesebuah negara dan sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Manakala sistem pemerintahan yang wujud di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor berlainan dengan sistem pemerintahan yang diamalkan di Negeri Sembilan.
    Negeri Sembilan mengamalkan sistem pemerintahan Adat Pepatih. Tunggak pemerintahan di Negeri Sembilan terletak pada Yang Di-Pertuan Besar. Sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu dibantu oleh lapisan pembesar seperti bendahara, temenggung, laksamana, penghulu, bendahari, shahbandar dan sebagainya. Institusi kesultanan Melayu turut meletakkan golongan ulama dalam sistem pemerintahan mereka. Sebagai contoh di Melaka, golongan ulama mendapat tempat di sisi pemerintah seperti Makhdum Sayid Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Maulana Sadar Jahan, Maulana Jalaludin, Qadi Yusuf dan lain-lain. Amalan ini turut menjadi ikutan di Kelantan dan Terengganu seperti memberikan peranan penting kepada ulama seperti Tuk Pulau Manis, Tuk Pulau Condong dan Tuan Tabal.
    Kedudukan kesultanan diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka. Konsep daulat membawa maksud pengikat antara golongan pengikut dengan pemerintahnya. Ia tidak mempunyai undang-undang tertulis tetapi ia menjadi pegangan dalam masyarakat Melayu. Konsep ini telah mengangkat institusi kesultanan di kedudukan yang tinggi kerana ia menuntut rakyat memberikan ketaatan dan penghormatan terhadap institusi kesultanan.
    Bagi mengukuhkan kedudukan dan pegangan kepada konsep daulat ini maka pelbagai adat istiadat diwujudkan. Antara adat istiadat yang diwujudkan ialah cara berpakaian, jenis pakaian, warna, bahasa dan pengucapan, tingkah laku, alat kebesaran dan sebagainya. Antara adat yang diamalkan ialah adat istiadat pertabalan yang disempurnakan dengan penuh tertib dan mengikut arahan yang telah ditetapkan.
    pentadbiran
    Perundangan
    Sistem perundangan dalam sesebuah negara amat penting kerana ia bertujuan untuk menjaga dan menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.Peraturan tingkah laku digubal untuk menjaga keamanan dan keharmonian. Lantaran itu, undang-undang dicipta.Undang-undang terbahagi kepada dua jenis iaitu undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis.
    1. Undang-undang tidak bertulis
    Undang-undang tidak bertulis juga dikenali sebagai undang-undang adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat Pepatih diamalkan oleh masyarakat Melayu Minangkabau khususnya di Negeri Sembilan dan Naning, utara Melaka. Adat Temenggung pula diamalkan di negeri-negeri lain.
    Amalan Adat Perpatih ialah bermusyawarah dalam urusan pentadbiran dan penyelesaian masalah. Musyawarah dihadiri oleh wakil semua suku. Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku dan setiap suku dianggap sebuah keluarga besar. Ahli dalam suku tersebut tidak dibenarkan berkahwin sesama mereka. Setiap suku mempunyai seorang ketua adat yang digelar Lembaga. Dalam pemilihan ketua, ketua di pelbagai peringkat dilantik dalam kalangan ketua di peringkat bawah secara heirarki.
    pemilihan ketua mengikut peringkat
    Rajah menunjukkan pemilihan ketua mengikut peringkat
    Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Ia bersifat matrilineal iaitu nasab keturunan yang mengutamakan jurai keturunan sebelah ibu. Maka, anak perempuan diberikan hak mewarisi harta
    Adat Temenggung pula berasaskan sistem patrilineal iaitu mementingkan jurai sebelah bapa. Manakala dari segi pembahagian harta pusaka, kaum lelaki lebih diutamakan iaitu lebih kepada mengikut hukum syarak melalui sistem faraid dalam Islam. Dalam persoalan perkahwinan pula, seseorang individu bebas memilih pasangan hidup masing-masing asalkan tidak bertentang dengan hukum syarak.
    2. Undang-undang bertulis
    Undang-undang bertulis pula ialah merujuk kepada undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka dan sebagainya. Sebelum kedatangan Islam, undang-undang yang diamalkan adalah berasaskan kepada ajaran agama Hindu-Buddha iaitu Hukum Kanun Manu. Iaitu hukum berasaskan kepada perbezaan kelas atau kasta.
    Kedatangan Islam telah mengubah sistem perundangan yang diamalkan di Alam Melayu. Hukum-hukum Islam mula mendapat tempat dan menyerapi undang-undang sedia ada. Profesor Ahmad Ibrahim menegaskan bahawa sebelum datang kuasa orientalisme, perundangan yang digunapakai ialah perundangan berasaskan Islam dan adat Melayu. Kehadiran Islam telah memperkenalkan undang-undang bertulis seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang Pahang, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Perak dan sebagainya.
    Semua kitab undang-undang ini menjadi asas kepada sistem pemerintahan dan perundangan negeri-negeri Melayu. Sebagai contoh, Hukum Kanun Melaka menjelaskan peranan dan tanggungjawab raja dan pembesar, pantang larang dalam kalangan masyarakat Melayu, hukum kesalahan ibadah, hukum jenayah, undang-undang keluarga dan jenis-jenis hukuman terhadap kesalahan tertentu. Kerajaan Melaka juga aktif dalam urusan perdagangan maka Undang-Undang Laut Melaka diperkenalkan bagi memudahkan urusan perdagangan. Begitu juga undang-undang Pelabuhan di Kedah.
    Dalam perundangan tersebut secara jelas menunjukkan bahawa terdapat pengaruh hukum syariah dalam urusan muamalat Islam. Misalnya seseorang nahkoda kapal diibaratkan sebagai imam dan anak buah sebagai makmum. Undang-undang bertulis menjadikan pengurusan pemerintahan dan masyarakat tersusun rapi dan sistematik kerana segala kesalahan yang dilakukan ditentukan hukumannya tanpa mengikut darjat. Undang-undang ini secara praktikalnya mengecualikan raja atau sultan kerana mereka berkedudukan teratas dalam sesebuah organisasi.
    heqading 8.2
    pengaruh kedatangan islam

    • Resource
    • Pendidikan
      Pendidikan merupakan aspek sosial yang penting dalam sesebuah masyarakat. Secara umumnya pendidikan terbahagi kepada dua bentuk iaitu pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.
      Pendidikan Tidak Formal
      pendidikan tidak normal
      Pendidikan tidak formal merupakan pendidikan yang berlaku di peringkat awal di dalam keluarga atau di rumah. Sistem pendidikan tidak formal masih berlaku dan bersifat berterusan kerana di rumah atau dalam keluarga nilai-nilai moral masih diberikan penekanan oleh ibu bapa, khususnya pembelajaran melalui pemerhatian, pendengaran, penglihatan dan teguran.
      Kanak-kanak mempelajari kemahiran menerusi pemerhatian dan latihan seperti dalam bidang pertanian, perikanan, kraftangan atau pertukangan. Ibu bapa juga mengajar anak-anak mereka hal-hal yang berkaitan dengan keagamaan, kelakuan dan adat resam, sikap dan tatasusila, sopan santun, cara berkawan dan menjaga maruah diri dan keluarga.
      Nilai-nilai budaya yang murni ini turut diserap melalui bidang kesusasteraan iaitu cerita-cerita lisan seperti cerita binatang dan cerita jenaka. Pendidikan melalui penggunaan kaedah lisan atau bercerita merupakan satu kaedah yang amat berkesan dalam penyampaian maklumat atau mesej kepada kanak-kanak. Melalui kaedah bercerita ini boleh diterapkan unsur-unsur tauladan dan pengajaran.
      Kanak-kanak turut mempelajari pantang larang dan adat istiadat melalui pergaulan sosial. Mereka dinasihatkan mengamalkan budaya tertib bila berhadapan dengan orang ataupun orang tua seperti tunduk dan menghulurkan tangan ketika berjalan di hadapan orang lain.
      Pendidikan tidak formal juga disampaikan menerusi pantun dan peribahasa serta teka teki. Pepatah seperti Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-lama Mencuri. Pepatah ini mempunyai unsur pengajaran yang cukup tinggi dan baik untuk kanak-kanak agar sentiasa bercakap benar.
      Pendidikan Formal
      pendidikan formal
      Sistem pendidikan formal pula adalah pendidikan yang berkaitan dengan keagamaan secara langsung atau melalui peranan institusi tertentu. Kaedah ini berlaku sebelum kedatangan Islam lagi iaitu pada zaman Hindu-Buddha. Zaman tersebut pendidikan dan perkembangan ilmu pengetahuan hanya didominasi oleh golongan istana dan para pembesar sahaja. Malah istana waktu itu menjadi pusat pengajian. Pendidikan waktu itu disampaikan oleh golongan pendeta atau guru yang dipertanggungjawab untuk memberikan pengajaran kepada bakal pemerintah dan pembesar kerajaan sahaja.
      Kedatangan Islam telah membuka satu lembaran baru khususnya dalam aspek pendidikan. Islam membenarkan dan menggalakkan perkembangan ilmu pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat. Lantaran itu, pendidikan keagamaan mendapat tempat di istana, masjid, surau dan juga di rumah guru. Kemudian penyampaian sistem pendidikan terus berkembang melalui penubuhan institusi pondok dan madrasah. Pendidikan di rumah pula memberikan penekanan kepada pengajaran al-Quran seperti belajar mengaji atau membaca al-Quran.
      Pada kebiasaannya kelas al-Quran ini dijalankan di rumah guru al-Quran. Mereka yang mengikuti kelas ini pada kebiasaannya berumur dari 7 hingga 15 tahun. Ia menjadi asas kepada pendidikan Islam seterusnya. Maka nyatalah bahawa kedatangan Islam, tidak sesekali mengenepikan peranan istana kerana waktu itu istana telah dijadikan pusat pendidikan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Sejarah Melayu sebagai contohnya telah mencatatkan tentang peranan istana Melaka dalam menyebarkan Islam.
      Sultan Mansur Shah, telah menerima pendidikan Islam daripada Maulana Abu Bakar. Manakala Sultan Mahmud Shah dan Raja Ahmad telah menerima pendidikan Islam daripada Maulana Sadar Jahan. Perkembangan Islam dan peranan Melaka sebagai Pusat Pendidikan Islam amat berkait rapat dengan peranan golongan ulama dan para pendakwah yang menetap di Melaka. Mereka ini terdiri daripada pelbagai bangsa seperti India, Arab, Parsi dan Gujerat serta lain-lain.
      Mereka datang ke Melaka kerana diberikan ruang berdakwah yang selesa. Malah mereka digalakkan menyebarkan Islam dalam kalangan orang Melayu. Ditambah pula masyarakat Melayu menunjukkan minat yang tinggi dalam usaha mempelajari dan mendalami tentang ajaran Islam. Islam pula agama yang mudah difahami dan memberikan keadilan kepada semua turut menjadi faktor penarik kepada semua orang untuk mengetahui dan memeluk Islam.
      Kitab al-Dur al-Manzum (Mutiara Tersusun) iaitu sebuah kitab Tasawuf karangan Maulana Abu Bakar telah diarak sehingga ke balairung istana Melaka. Ini berlaku kerana Sultan Mansur Shah amat berminat dengan pengajian ilmu tasawuf. Keadaan yang sama turut berlaku di Johor, apabila istana Johor menjadi pusat pengajian Islam semasa pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah yang memerintah dari tahun 1597 hingga 1602. Istana turut berperanan sebagai tempat menyimpan buku-buku hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah tersimpan di istana Melaka. Walau bagaimanapun peranan istana bukan sekadar menyimpan buku-buku hikayat semata-mata tetapi turut berperanan sebagai pusat pendidikan dan amalan politik dan pemerintahan.
      Pendidikan formal juga dijalankan di masjid dan surau, di sini tempat berkumpul dan bertemu untuk beribadah dan menuntut ilmu agama. Pada sebelah pagi atau petang, kanak-kanak akan diajar ilmu-ilmu Islam seperti feqah, tajwid, fardu ain dan cara-cara sembahyang serta wuduk. Manakala di sebelah malam pula kelas-kelas untuk orang dewasa pula dijalankan. Kandungan yang diajar ialah ilmu feqah, usuludin, tasawaf dan hadis, iaitu tahap yang lebih tinggi sesuai dengan umur mereka.
      Sistem pendidikan formal lebih teratur dengan pengenalan institusi pondok. Pengajian di sini menekankan kelas secara formal dan para pelajar perlu berkhidmat kepada guru dan masyarakat mereka pada waktu lapang. Sistem pendidikan pondok amat luas tersebar di negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Pattani. Institusi pondok di Alam Melayu telah bermula sejak abad ke-12 lagi.
      Antara pondok yang penting di Kelantan ialah Pondok Pulau Condong yang diasaskan oleh Haji Abdul Samad Abdullah(Tuk Pulau Condong), dan Pondok Kutan yang diasaskan oleh Haji Muhamad Salleh. Di Terengganu pula ialah Pondok Pulau Manis dibuka oleh Syaikh Abdul Malik Abdullah (Tuk Pulau Manis). Di Kedah pula ialah Pondok Titi Gajah diasaskan oleh Haji Muhamad Taib dan Pondok Langgar oleh Haji Muhamad Nor. Kebaikan sistem pendidikan pondok ini ialah ia tiada batas waktu pengajian dan pelajar-pelajar yang belajar di institusi pondok akan mengambil masa yang lama untuk menamatkan pengajian mereka.
      Kemudian lahir pula sistem madrasah yang lebih formal dan sistematik. Dari segi sejarah sistem madrasah diperkenalkan pada era pemerintahan Khalifah Bani Saljuk di Iraq atau Baghdad pada tahun 447 Hijrah bersamaan 1056 Masihi. Sistem pendidikan madrasah berlainan dengan sistem pendidikan pondok kerana perbezaan dari segi sukatan dan waktu pembelajaran. Pendidikan ini berjalan mengikut tahap permulaan dan pertengahan serta juga pengkhususan. Pendidikan di institusi madrasah diawasi oleh seorang mudir iaitu pengetua dan perjalanan madrasah ini diselia oleh lembaga pengarah, jawatankuasa pengelola, jawatankuasa kewangan dan sebagainya.


      Bahasa dan Kesusasteraan
      Pengaruh Islam turut dilihat dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan dan yang paling ketara ialah tulisan jawi. Sebelum tulisan jawi, beberapa tulisan lain telah digunakan di Alam Melayu seperti tulisan Pallava, Kawi(Jawa Kuno), Sunda kuno, Batak dan Rencong.
      bahasa dan kesusasteraan
      UNIVERSITI AL AZHAR, MESIR.
      Malah kedatangan Islam turut memperkenalkan huruf Arab dan ini dengan mudah diterima oleh orang Melayu dengan penyesuaian pada tulisan orang Melayu. Maka lahirlah tulisan Jawi. Melalui penggunaan tulisan jawi ini maka bidang pembacaan dan penulisan bertambah pesat dan seterusnya memperkayakan lagi bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu. Perbendaharaan bahasa Melayu turut bertambah apabila penerimaan bahasa Arab atau bahasa al-Quran dalam masyarakat Melayu.
      Istilah atau perkataan Arab yang diterima sebagai bahasa Melayu seperti dalam petak di bawah:
      contoh bahasa arab dalam bahasa melayu
      Kemudian perkembangan ajaran Islam di Alam Melayu dengan bidang-bidang seperti feqah, tauhid dan tafsir. Kesusasteraan juga berkembang pesat. Tahap awal, kesusasteraan rakyat disebarkan secara lisan iaitu dari satu generasi kepada satu generasi. Jenis sastera lisan paling awal ialah cerita asal usul yang menceritakan tentang kejadian alam, nama tempat, nama tumbuh-tumbuhan dan binatang.
      Ada juga cerita lisan yang menceritakan tentang cerita binatang seperti cerita Sang Kancil. Begitu juga cerita berunsur jenaka seperti Lebai Malang, Pak Kadok, Si Luncai dan Pak Pandir dengan watak masing-masing dan dengan unsur pengajaran tersendiri. Sebagai contoh, Pak Pandir dan Si Luncai dengan watak orang cerdik, Lebai Malang dan Pak Kadok dengan watak orang bodoh. Cerita Rakyat turut dipaparkan seperti cerita Bawang Putih dan Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup, yang membawa unsur pengajaran dan mesej agar tidak berhasad dengki. Begitu juga dengan kesusasteraan yang lain berbentuk puisi seperti pantun, gurindam, teka-teki dan seloka.
      Setelah Islam berkembang pesat di Melaka, bidang penulisan karya turut berkembang pesat. Karya-karya yang dihasilkan pada zaman tersebut terbahagi kepada dua jenis iaitu jenis prosa dan jenis puisi. Bentuk Prosa ialah penghasilan karya-karya berbentuk hikayat tentang Nabi Muhammad s.a.w. seperti Hikayat Nur Muhammad dan Hikayat Bulan Berbelah. Kemudian lahir pula hikayat tentang nabi-nabi lain seperti Hikayat Nabi Yusof a.s. dan Hikayat Nabi Musa a.s.. Begitu juga lahir karya tentang kisah para sahabat seperti Hikayat Hasan dan Husin dan Hikayat Abu Bakar. Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiah, sebagai contohnya, membicarakan tentang peperangan dan disimpan di Istana Melaka.
      Karya berbentuk Puisi pula ialah Syair Dahulu Kala ditulis oleh Tengku Ampuan Mariam dari Terengganu. Perkembangan ini mengambarkan satu perkembangan yang cukup sihat maka lahir pula karya-karya berbentuk saduran seperti Arab-Parsi seperti Hikayat Abu Nawas dan Hikayat Hasan Damsyik.

      Kesenian
      kesenian
      Kesenian, kata dasarnya ialah seni yang membawa maksud sesuatu yang indah dan menyenangkan untuk ditatapi atau dihayati. Pengiat seni dipanggil sebagai seniman. Maka boleh dikatakan bahawa bidang kesenian adalah satu bidang yang amat luas cakupannya. Kesenian ini mencakupi bidang seni halus, seni rupa, seni tampak, seni persembahan, seni tekat atau tekstil dan busana, seni ukir dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum kedatangan Islam orang Melayu telah bergiat dalam bidang kesenian. Namun kesenian ini terikat dengan lingkaran tradisi Hindu-Buddha.
      Bidang seni ukir umpamanya memperlihatkan pengaruh Hindu-Buddha terutama dalam ukiran patung-patung. Hasil seni ukiran dan arca seperti Avalokitesvara ditemui di Lembah Bujang membuktikan pengaruh Hindu yang cukup ketara. Tetapi kedatangan Islam telah menerapkan nilai-nilai Islam dalam bidang kesenian. Maka ia telah mengubah senario yang mengaitkan dengan unsur-unsur ajaran Islam. Membawa maksud hasil seni merupakan gabungan antara elemen keagamaan dengan kehalusan seni tempatan.
      Seni bina merupakan aktiviti kesenian yang paling menunjuk dalam masyarakat Melayu bukan sekadar untuk membina tempat perlindungan atau kediaman sahaja tetapi kediaman atau rumah ini diukir dengan seni ukir yang baik dan pelbagai. Contohnya rumah Melayu dan masjid dihiasi dengan ukiran-ukiran unsur Islam yang cukup menarik. Masjid misalnya, mempunyai ciri-ciri khas seperti mihrab, mimbar, telaga, menara, kolam atau pancutan air dan kubah yang khusus serta lambang bulan dan bintang. Ini menggambarkan perbezaan antara masjid dengan bangunan lain.
      Antara masjid tertua yang terdapat di Malaysia ialah Masjid Kampung Laut di Kelantan, Masjid Tengkera dan Masjid Peringgit di Melaka yang dihiasi dengan seni ukir yang baik dan menarik. Selain masjid, istana raja juga dibina dan dihiasi dengan seni ukir yang menarik. Istana dilengkapi dengan balairung, tempat persemayaman diraja, balai istiadat, dan seumpamanya. Contohnya Istana Melaka. Setiap binaan dilengkapi dengan seni hiasan dalaman hasil dari kemahiran ukiran. Sebelum kedatangan Islam seni ukir dipengaruhi oleh unsur-unsur atau bentuk ukiran binatang seperti burung, ayam, ikan, harimau dan sebagainya.
      Namun kedatangan Islam ini telah mengubah unsur-unsur tersebut kepada bentuk ukiran yang lebih bersesuai dengan Islam iaitu bentuk tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan dan geometri. Orang Melayu juga berminat dengan kesenian epigrafi seperti batu bersurat dan batu nisan. Batu Bersurat Terengganu misalnya boleh membuktikan dakwaan seni epigrafi terutama dari seni tulisannya.
      Seni tulisan dalam Islam diberi nama seni khat atau kaligrafi. Pada asalnya seni tulisan khat hanya berfungsi sebagai hiasan terutama di masjid dan surau / madrasah, pada batu nisan, barangan tembikar, mata wang, pakaian, dan sebagainya. Tulisan khat yang popular di Alam Melayu ialah jenis kufi dan nasakh. Malah ayat-ayat al-Quran seperti ayat kursi, surah yasin, surah al fatihah turut dijadikan sebagai sumber tulisan khat yang indah dan menarik.
      Orang Melayu turut berminat dengan seni persembahan seperti tarian, drama, muzik, nyanyian dan tarian serta wayang kulit. Dalam banyak persembahan, tiga kesenian ini iaitu muzik, nyanyian dan tarian selalu digabungkan menjadi satu persembahan. Kesenian ini telah diamalkan sebelum kedatangan Islam. Kemudian apabila kedatangan Islam ia disesuaikan dengan tuntutan agama seperti terdapatnya pengaruh Asia Barat dalam cabang kesenian ini. Sebagai contoh, tarian dabus di Perak adalah unsur dari Asia Barat. Tarian Dabus ini diiringi dengan 22 orang penari yang diiringi dengan pukulan rebana besar, rebana kecil dan gong.
      Pada zaman kesultanan Melayu semasa Sultan Mahmud Shah, tarian mak inang telah ditarikan di istana Melaka dalam majlis-majlis tertentu. Antara nyanyian yang dipengaruhi oleh Islam ialah tarian nazam atau naban dan ianya sangat popular di Terengganu, Pahang dan Melaka. Nazam berbentuk syair yang mengisahkan tentang Nabi Muhammad s.a.w., kisah para nabi dan para sahabat. Di Terengganu, kesenian ini dilakukan oleh kaum wanita dan dinyanyikan dalam majlis-majlis seperti perkahwinan, berkhatan dan upacara lain yang bersifat keagamaan. Pada kebiasaannya seni kata lagu tersebut dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. Di Johor pula, sejenis puisi Arab iaitu ghazal amat popular.

      Gaya hidup
      gaya hidup
      Kesan paling ketara dalam masyarakat Melayu ialah perubahan gaya hidup daripada mengamalkan unsur-unsur animisme dan ajaran agama Hindu-Buddha kepada gaya hidup berasaskan Islam. Ia bermula dari aspek kepercayaan atau akidah, seterusnya syariah dan akhlak. Perubahan akhlak merangkumi pelbagai aspek kehidupan seharian. Sebagai contoh, amalan hijabah atau protokal bertemu pemimpin diambil dari amalan Kerajaan Bani Umaiyah.
      Pembacaan surat ciri iaitu kata-kata hikmat dan ayat-ayat suci dalam bahasa Sanskrit dalam urusan perlantikan dan pertabalan raja telah dimansuhkan. Sebaliknya setelah kedatangan Islam, proses perlantikan dan pertabalan sultan cara pembacaan surat ciri digantikan dengan lafaz ikrar oleh sultan dan para pembesar. Ia merupakan persamaan dengan amalan baiah dalam Islam. Begitu juga apabila sultan mangkat, kekosongan ini akan digantikan oleh penganti baginda sebelum upacara pengkebumian. Perkara ini merupakan persamaan dengan amalan semasa zaman kerajaan Bani Umaiyah.
      Dalam kehidupan seharian khususnya dalam masyarakat tradisional, amalan-amalan Islam dapat dilihat menerusi hubungan siratulrahim sesama individu dan juga hubungan kekeluargaan bagi mewujudkan hubungan yang akrab. Amalan menghormati orang yang lebih tua ditekankan seperti menghormati ibu bapa, bapa saudara dan sebagainya. Amalan ini boleh dilihat dengan gelaran yang diberikan kepada mereka yang lebih tua seperti panggilan pak long dan mak long. Mereka tidak boleh dipanggil dengan nama. Anak muda tidak boleh meninggikan suara bila berbicara dengan orang yang lebih tua.
      Islam turut memberikan penekanan kepada amalan kejiranan iaitu meghormati jiran dan jiran mempunyai hak bermasyarakat. Malah jiran turut dianggap sebagai anggota keluarga sendiri. Begitu juga amalan menghormati tetamu seperti tetamu hendaklah dilayan dengan baik serta dihidangkan juadah (makanan dan minuman) yang berpatutan. Bagi mereka yang menziarahi orang lain hendaklah memberikan salam dan tuan rumah hendaklah menjawab salam. Semasa memasuki rumah maka tetamu dan tuan rumah digalakkan bersalaman mengikut hukum Islam iaitu lelaki dengan lelaki manakala perempuan dengan perempuan. Ketika bersalaman kanak-kanak digalakkan mencium tangan orang yang lebih tua.
      Begitu juga apabila hendak memulakan sesuatu perkara seperti makan atau minum maka ungkapan Bismillah (dengan nama Allah) hendaklah diucapkan. Dalam majlis perkahwinan, majlis berkhatan, kenduri-kendara dan majlis berkhatam al-Quran, unsur-unsur Islam turut ditekankan seperti amalan gotong-royong semasa melakukan aktiviti gotong-royong dalam kalangan masyarakat. Penekanan diberikan kepada konsep bersatu kita teguh, bercerai kita roboh dan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.


      heading 8.3
      pengaruh islam terhadap ekonomi

      • Resource
      • Kedatangan Islam di Alam Melayu telah melonjakkan Alam Melayu sebagai salah satu destinasi perdagangan bertaraf antarabangsa. Kedudukan yang strategik iaitu di antara jalan perdagangan timur dan barat membantu mempromosi Kepulauan Melayu dan menjadi tempat persinggahan pedagang. Namun sebelum kedatangan Islam, iaitu sejak abad pertama Masihi lagi kegiatan perdagangan telah menjadi aktiviti penting bagi kerajaan-kerajaan Funan, Srivijaya, Kedah Tua dan sebagainya.
        Kehadiran Islam telah menggalakkan kegiatan perdagangan antara kerajaan Islam di Asia Tenggara seperti Melaka, Acheh, Johor, Perlak dan Pasai dengan kerajaan-kerajaan bukan Islam di Asia Tenggara. Justeru itu, kegiatan ekonomi di rantau Melayu menjadi penting dan utama sekitar abad ke-14 hingga ke-15, sering dikaitkan dengan kegiatan pentadbiran kerajaan, perdagangan dan perkembangan agama Islam.
        Penglibatan orang Melayu dalam sektor perdagangan ini membolehkan penciptaan penggunaan mata wang, pengenalan sistem percukaian dan sebagainya. Kesannya bukan sahaja bidang ekonomi tetapi turut memberikan impak dalam bidang sosiobudaya.
        Perdagangan
        Dari abad ke-12 hingga ke-15, kegiatan perdagangan melibatkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan dikuasai oleh pedagang Islam. Keadaan ini turut mempengaruhi kegiatan perdagangan di Asia Tenggara. Pedagang Melayu turut terlibat dalam urusan perdagangan ini. Perkembangan ini sangat berkait rapat dengan kedatangan Islam.
        Ia berkait rapat kerana kegiatan perdagangan ini digalakkan dalam Islam malah menjadi salah satu sumber rezeki individu dan negara. Malah Nabi Muhammad s.a.w. turut terlibat dalam kegiatan perdagangan. Malah dengan penglibatan dalam bidang perdagangan turut membantu mempercepatkan kegiatan dakwah dan proses penyebaran Islam.
        Walaupun Melaka tidak menghasilkan barangan dagangan utama seperti rempah ratus tetapi ia menjadi tempat pengumpulan barangan tersebut dari kawasan lain di sekitar Asia Tenggara. Atas alasan permintaan yang tinggi usaha pengumpulan ini giat dijalankan dan berjaya menjadikan Melaka sebagai pelabuhan utama dalam urusan perdagangan rempah ratus. Dengan kehadiran pedagang asing yang begitu ramai maka pengurusan pedagang dipermudahkan di Melaka iaitu kerajaan Melaka telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti penginapan, pembaikan kapal dan sebagainya. Kesemua ini bertujuan untuk memudahkan para pedagang yang berdagang di Melaka.
        Malah kerajaan Melaka memperkenalkan pelbagai jawatan seperti laksamana yang menguruskan urusan kelautan dan syahbandar sebagai ketua pelabuhan bagi memudahkan urusan perdagangan. Undang-Undang Laut Melaka telah digubal menjadi asas kepada peraturan dan perjalanan kegiatan perdagangan yang mesti diikuti oleh masyarakat terutama berkaitan dengan urusan Nahkoda, Jurumudi dan sebagainya.
        Kegiatan perdagangan pesat di Melaka dengan terdapatnya paling kurang 84 bahasa yang dipertuturkan di Melaka. Aktiviti perdagangan dipermudahkan dengan adanya sistem timbang dan sukat bagi mewujudkan keadilan dalam urusan perdagangan. Urusan ini diletakkan di bawah pengawasan dan pengurusan syahbandar. Peratusan sistem timbang dan sukat berpandukan kepada kiraan tahil dan kati. Antara barangan yang ditimbang dengan menggunakan sistem ini ialah emas, perak, batu permata dan bahan wangian. Sistem bahara (satu bahara sama dengan 205 kati) pula digunakan untuk menimbang barangan seperti rempah ratus, seperti lada hitam, buah pala, bunga cengkeh, bunga lawang dan sebagainya. Timbangan ini dilakukan dengan menggunakan dacing.
        Di Melaka dua kaedah perdangangan digunakan iaitu kaedah tukar barang dan kaedah jual beli. Kejatuhan Melaka kepada Portugis tidak melunturkan semangat pedagang Melayu. Aktiviti perdagangan ini diambil alih oleh kerajaan Johor. Keadaan ini berterusan sehingga abad ke-17 dan ke-18. Waktu ini negara-negara yang terlibat dalam kegiatan perdagangan ialah Kedah, Kelantan, dan Terengganu, malah menjadi pelabuhan penting waktu itu.
        Mata Wang
        mata wang
        Apabila perdagangan semakin pesat berkembang maka bagi memudahkan urusan jual beli, mata wang digunakan. Ia merupakan alternatif kepada sistem tukar barang atau barter yang diamalkan sebelum ini. Bagi negeri-negeri Melayu, kepingan timah dijadikan mata wang. Mata wang zaman Melaka ialah berbentuk bulat dan beratnya satu kati lapan tahil. Nama sultan dan tarikh Islam akan tertera pada permukaan wang tersebut.
        Mata wang Pasai, Hormuz dan Cambay juga boleh digunakan di Melaka dan boleh ditukar di Melaka. Di Johor pula mata wang diperbuat daripada timah dan berbentuk bulat atau segi enam serta dikenali sebagai wang katun. Mata wang ini tidak bertarikh tetapi tertera tulisan jawi atau Arab dengan dengan nama Malik atau Sultan al-Adil. Bagi negeri Kedah pula, telah menggunakan mata wang timah sendiri sejak abad ke-17. Mata wang ini adalah untuk kegunaan tempatan. Ia berbentuk seekor ayam jantan yang hinggap di atas beberapa bentuk cincin yang tersusun dalam sebaris. Mata wang ini boleh dipatah-patahkan dan digunakan secara berasingan. Selain mata wang yang diperbuat dari timah terdapat juga mata wang yang diperbuat daripada emas.
        Mata wang emas digunakan secara meluas di Kedah dan Johor pada abad ke-16. Mata emas tertua yang pernah dijumpai bertarikh 1527 iaitu pada era pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah. Manakala mata wang di Kelantan pula dikenali sebagai kijang kerana terdapat gambar kijang tertera di permukaan mata wang emas tersebut. Mata wang emas Johor pula dipanggil kupang dan mengandungi emas seberat 10 grain (0.65 gram) dan juga jenis emas seberat 40 grain (2.6 gram).
        Tiap-tiap wang emas ini tertera nama dan pangkat sultan yang memerintah dan yang bertanggungjawab mengeluarkan mata wang emas tersebut. Di bahagian belakang pula tertulis gelaran Islam seperti Khalifatul Muslimin dan sebagainya. Pada masa tersebut pedagang Eropah telah menggunakan wang perak. Pedagang India, China dan Arab pula menggunakan emas atau mata wang emas.
        Percukaian
        Apabila membicarakan tentang perdagangan maka aspek percukaian tidak dapat dipisahkan. Secara umum cukai merupakan bayaran yang dikenakan oleh pihak pemerintah terhadap pedagang yang berdagang di negaranya. Hasil cukai ini akan menjadi sebahagian daripada pendapatan kerajaan dan akan disalurkan kembali untuk pembangunan negara.
        Di Melaka, para pedagang yang berdagang di Melaka dikenakan cukai terhadap beberapa jenis barang yang didagangkan. Cukai di Melaka terbahagi kepada beberapa jenis iaitu cukai tetap dan cukai diraja. Cukai tetap ialah cukai import yang dikenakan kepada pedagang Arab, Ceylon, India, Siam dan Pegu yang ditetapkan jumlahnya sebanyak 6 % dari jumlah barang yang dibawa. Pedagang dari Jepun dan China pula dikenakan cukai sebanyak 5 %. Terdapat juga barang seperti beras dan makanan yang tidak dikenakan cukai.
        Setelah semua cukai dibayar barulah pedagang boleh berdagang di bazar-bazar yang disediakan di sepanjang sungai Melaka. Selain itu orang asing yang menetap di Melaka juga dikenakan cukai. Yang datang dari Kepulauan Melayu dikenakan cukai diraja sebanyak 3 %. Manakala orang asing dari kawasan yang lain dikenakan cukai 6 %.
        Pengaruh Islam amat mendalam di Melaka dan juga di negeri Melayu yang lain kerana telah membantu memperkembangan ekonomi negara. Amalan riba amat dilarang dalam Islam. Walau bagaimanapun golongan ceti dibenarkan menjalankan kegiatan pinjaman wang mereka.
        Penegasan tentang larangan mengamalkan riba jelas tertera dalam Hukum Kanun Melaka dan juga Hukum Kanun Pahang. Lantaran kerana kegiatan perdagang berkembang pesat maka saudagar kaya atau golongan kaya atau berkemampuan dikenakan membayar zakat harta. Hasil zakat yang dikumpul itu akan disimpan dalam baitulmal iaitu badan yang ditubuhkan untuk menguruskan harta kerajaan. Harta ini akan digunakan untuk kemakmuran dan kepentingan negara serta juga sebagai sumber bantuan kepada golongan masyarakat yang memerlukan bantuan.
        Rumusan
        Pengaruh Islam dalam Alam Melayu amat ketara dan kuat. Malah ia membawa perubahan yang cukup besar kepada masyarakat Melayu. Dari segi kerajaan seperti Melaka perubahan cukup ketara dalam aspek politik, ekonomi dan juga sosial khususnya dari pengaruh Hindu-Buddha kepada pengaruh Islam. Sejajar dengan perkembangan Islam pada abad ke-15, maka lahir kerajaan-kerajaan Islam yang terkemuka di Alam Melayu. Melaka umpamanya telah menjadi pusat perdagangan, pusat ilmu pengetahuan, empayar Islam rantau Melayu dan pusat intelektual.
        Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis maka muncul kerajaan-kerajaan Islam yang lain seperti Johor-Riau, Kelantan, Terengganu, dan Kedah di Tanah Melayu. Undang-undang Islam turut digunakan di Alam Melayu menunjukkan pegangan kuat masyarakat Melayu terhadap Islam. Malah implimentasi turut dilihat dalam aspek pentadbiran, pemerintahan dan perundangan dalam kerajaan-kerajaan di Alam Melayu.
        Dari sudut sosial pula Islam turut mempengaruhi perkembangan kebudayaan, kesenian, kesusasteraan dan bahasa. Begitu juga dalam aspek ekonomi memperlihatkan perkembangan kegiatan perdagangan sehinggakan Melaka menjadi pusat perdagangan antarabangsa.
        Kesimpulannya Islam meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada masyarakat Melayu khususnya tentang pemikiran Islam sehinggakan pada zaman moden semangat nasionalisme dan Islamiah mempengaruhi masyarakat Melayu dalam perjuangan memartabatkan bangsa Melayu.



No comments:

Post a Comment